TANJUNG MALIM: Tujuh kawasan di daerah Muallim dinaiki air ekoran hujan berterusan sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman bagaimanapun berkata, setakat ini tiada lagi penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, kawasan yang terjejas ialah Kampung Kuala Slim, Kampung Balun, Pekan Behrang Stesen, Jalan Behrang-Selisek, Jalan Sungai Lembing, Kampung Rasau dan Kilometer 89, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara.
“Seramai 54 pegawai dan anggota polis telah diatur gerak membuat rondaan dan pemantauan di kawasan banjir dengan dibantu agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rela.
“Keadaan banjir di daerah ini adalah terkawal, walau bagaimanapun semua agensi keselamatan sentiasa bersiap siaga dalam memantau keadaan terkini kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak cemas dengan sentiasa mengutamakan keselamatan diri selain diminta lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa.
“Kita minta orang ramai agar sentiasa peka sekiranya hujan turun lebih lebat dan mereka juga perlu mengikut nasihat pegawai berkuasa demi keselamatan diri.
“Polis Daerah Muallim akan meningkatkan rondaan dan kawalan di kawasan yang terlibat banjir bagi memastikan tiada kecurian atau kemalangan jiwa,” katanya. – UTUSAN ONLINE