PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang diumumkan di dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri berkata, ke arah itu, antara tumpuan utama kerajaan pada 2022 adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
Kata beliau, tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang dan beberapa tema mustahak perlu digerakkan.
“Antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa. Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status ‘carbon neutral nation’ pada 2050,” katanya dalam perutusan khas sempena tahun baharu 2022 di sini malam ini.