JELEBU: Hampir 600 pekebun kecil di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Negeri Sembilan terjejas ekoran kejadian banjir yang melanda baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, jumlah sebenar yang terjejas belum dapat dipastikan termasuk jumlah kos kerugian yang dialami mereka.
“Kami belum mengetahui jumlah sebenar namun saya anggarkan seramai 500 hingga 600 pekebun kecil getah yang terjejas. Saya juga mendapat tahu ada di antara mereka yang membuat aktiviti keusahawanan yang turut terkesan termasuk ketuhar rosak teruk.
“Kami cuba memulihkan pendapatan dan perniagaan mereka dan insya-Allah kami akan membantu. Berkaitan soal usahawan dan aktiviti ekonomi ini sudah pastinya kami akan membantu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan banjir di Pusat Khidmat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Simpang Pertang, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof. – UTUSAN