PUTRAJAYA: Sebanyak 5,731 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung seramai 1.63 juta mangsa bencana dalam satu-satu masa.
Penyediaan PPS tersebut bagi mendepani Monsun Timur Laut yang bermula Oktober lalu dan diramalkan sehingga Mac tahun depan, disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sejumlah 134 PPS adalah berkapasiti besar, 1,970 berkapasiti sederhana dan 3,627 berkapasiti kecil serta dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, cecair pembasmi kuman, pelitup muka serta cubicle (bilik kecil) bagi menempatkan mangsa.
“Sehingga pukul 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Sebanyak 220 PPS dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa.
“Bagi menangani penularan Covid-19 tatkala negara berdepan bencana banjir, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes Covid-19 sebelum penempatan dibuat di PPS berkaitan. PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya menggerakkan seramai 1,000 pegawai dan kakitangan JKM bagi membantu mangsa di lokasi bencana banjir selain seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi.
“Saya berharap orang ramai memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) diberi keutamaan sewajarnya. Pastikan anak-anak tidak bermain air bagi mengelak kemalangan jiwa.
“Justeru, saya mengingatkan amatlah penting bagi setiap penduduk di kawasan-kawasan terlibat untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiap siaga sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga untuk waktu yang kritikal ini,” ujarnya.
Tambah beliau, elakkan daripada keluar rumah jika tiada keperluan mendesak, jauhi dari tempat yang dinaiki air bagi mengelakkan aliran elektrik yang boleh meragut nyawa.
Bagi mengikuti perkembangan maklumat bencana banjir, orang ramai dinasihatkan memuat turun Aplikasi InfoBencana JKM 2.0 melalui Apps Store dan Play Store bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai bencana banjir.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam dan Bilik Gerakan JKM yang boleh dilayari di portal www.jkm.gov.my.- UTUSAN ONLINE