500 sukarelawan Kedah balas budi orang Selangor  - Utusan Malaysia

500 sukarelawan Kedah balas budi orang Selangor 

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor membawa jentolak bagi membuang selut di rumah mangsa banjir ketika hadir program khidmat masyarakat di Kampung Batu 20 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Kira-kira 500 sukarelawan daripada agensi, jabatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Amal Pas negeri Kedah berkampung di Kampung Batu 20 dan Batu 21, Sungai Lui dekat sini bagi membantu mereka yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini. 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan turun membantu itu diambil berikutan Kedah mempunyai banyak pengalaman dalam mendepani situasi bencana.

Oleh itu katanya, beliau berharap segala bantuan yang dihulurkan itu dapat meringankan beban ditanggung terutama kepada mangsa yang terjejas di samping membalas budi orang-orang Selangor yang sering membantu ketika Kedah dilanda bencana. 

“Saya buat keputusan beberapa hari lepas untuk turun ke Selangor. Selain kita beri bantuan kepada kerajaan negeri (Selangor sebanyak) RM200,000, saya arahkan agensi dan jabatan bawa petugas serta aset seperti jentera berat datang ke sini. 

“Kita ada pengalaman banyak kali seperti tsunami di Kota Kuala Muda, banjir besar 2012 dan kejadian kepala air di Yan baru-baru ini.  Jadi kita ada pengalaman apa aset diperlukan serta sukarelawan. 

“Antaranya aset Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah (kami bawa) ada empat buah lori, dua jentolak, ini semua aset-set baharu, merlip (‘berkilat’) lagi bawa mai sini.

“Jadi kita datang nak ringankan beban mereka (mangsa), kalau harap (mangsa) sendiri pun mungkin tak mampu. Masa kita kena (kejadian kepala air) di Yan, orang Selangor ada turun, kita tak tahu siapa, tetapi orang Selangor jadi kita turun balas balik.” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu 20, Sungai Lui, hari ini. 


MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kanan) menziarah rumah seorang mangsa banjir, Maznah Yahaya@Yahya (dua dari kanan) ketika hadir program khidmat masyarakat di Kampung Batu 20 Sungai Lui, Hulu Selangor, Selangor. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Menurut Muhammad Sanusi, kerja-kerja membantu itu dijangka mengambil masa beberapa hari sehingga semuanya selesai. 

“Setiausaha Kerajaan Selangor (sudah susun bantuan ) Kedah di sini, jadi kita fokus di sini dan tak perlu pergi ke tempat lain,” jelasnya. 

Dalam pada itu, seorang anak mangsa, Maznah Yahaya @ Yahya, 62, berkata, dia dan keluarganya terharu dengan bantuan yang dihantar daripada Kerajaan Negeri Kedah itu. 

Katanya, keluarganya amat bersyukur kerana ada yang sanggup datang daripada jauh untuk membantu sama-sama membersihkan rumahnya yang dilanda bencana baru-baru ini. 

“Kita rasa terharu sebab mereka datang jauh-jauh dari Kedah, tak sangka dengan Menteri Besar sendiri yang turun. Ini semua kuasa tuhan hantar bantuan kepada kami,” ujarnya.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya