50 lokaliti dipilih fasa pertama basmi miskin tegar - PM - Utusan Malaysia

50 lokaliti dipilih fasa pertama basmi miskin tegar – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik yang dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti.

Perdana Menteri berkata, ia turut mengambil kira pelbagai dimensi termasuk aspek pendapatan, pendidikan dan kemahiran serta kesihatan dengan pelaksanaan fasa pertama melibatkan 50 lokaliti dipilih bermula awal tahun depan.

Kata beliau, pendekatan itu diterajui bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri berdasarkan pendekatan keseluruhan negara dengan tumpuan diberikan di negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi di bandar dan luar bandar tanpa mengira etnik.

“Ia melibatkan pelaksanaan secara terancang yang merangkumi sektor awam, swasta, akademia serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO). 

“Mesyuarat bagi membincangkan agenda membasmi kemiskinan tegar ini akan diadakan dengan kerap. Ini bagi memastikan pelaksanaan program membasmi kemiskinan tegar berjalan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu antara dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kali pertama hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi memastikan strategi dan inisiatif yang ditetapkan dilaksanakan mengikut perancangan bagi mencapai sasaran dalam rancangan Malaysia lima tahun (RMLT) ini.

Menurut Perdana Menteri, satu kerangka tadbir urus pemantauan RMK-12 diterima menerusi mesyuarat berkenaan dalam usaha memastikan pelaksanaan projek dan program itu dapat memberi manfaat kepada rakyat. 

Kata beliau, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 yang turut dipengerusikannya dan disokong oleh JawatankuasaTeknikal dan Jawatankuasa Kerja, akan bermesyuarat sebanyak empat kali setahun bagi memantau pelaksanaan sembilan fokus utama dan sembilan pemacu terpilih RMLT ini. 

“Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 akan memantau secara khusus 20 perkara utama antaranya prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan, membasmi kemiskinan tegar, menambah baik ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)  dan transformasi perkhidmatan awam,” katanya.  

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan mengambil maklum Prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas 2021 termasuk isu-isu yang berkaitan serta keperluan kewangan pada tahun seterusnya. 

Beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan RMK-12, Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) diedarkan kepada semua kementerian dan agensi bermula pada 23 November lalu. 

“Prestasi pencapaian PPD, RMLT ini akan dipantau dengan menggunakan Sistem Pemantauan RMK-12 bermula awal tahun 2022,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya