PUTRAJAYA: Lebih 50 keluarga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut terjejas dalam kejadian banjir di Lembah Klang sejak 18 Disember lalu.
Mereka terdiri anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang bertugas di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya dan Maritim Negeri Selangor.
Bagi mengurangkan beban anggota terjejas, Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim (KESMAR) Ibu Pejabat menggerakkan usaha pembersihan kediaman mereka yang terjejas.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, beliau sempat mengunjungi kediaman salah seorang Pegawai Maritim Malaysia yang terkesan di Taman Jenderam Aman, Sepang, hari ini.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Maritim Malaysia telah membentuk pasukan pegawai dan anggota bagi membantu kerja-kerja pembersihan.
“Hari ini, terdapat beberapa rumah telah dikenal pasti dan pasukan pembersihan yang diterajui KESMA digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan bermula jam 10 pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, sebahagian kawasan lain masih lagi digenangi air dan proses pembersihan akan dibuat sebaik sahaja kawasan tersebut surut sepenuhnya.
Mohd. Zubil berkata, Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada Hisyam Hamid, seorang selebriti yang juga pernah membawa watak sebagai Pegawai Maritim Malaysia dalam sebuah drama bersiri baru-baru ini kerana turut hadir membantu anggota terjejas.
Menurutnya, Hisyam turut menzahirkan kata-kata semangat kepada warga Maritim Malaysia yang terjejas dengan banjir.
“Sedikit sebanyak sumbangan tenaga yang dihulurkan dalam aktiviti pembersihan seperti ini dapat memberikan sokongan moral serta meringankan beban yang dialami oleh warga Maritim Malaysia.
“Sebanyak tiga kediaman telah dibersihkan pada hari pertama ini dan kediaman yang lain akan dibersihkan secara berperingkat mengikut keadaan semasa paras air,” katanya.