SHAH ALAM: Sebanyak 46 kematian dilaporkan di seluruh negara sehingga pukul 4 pagi ini susulan banjir besar di tujuh negeri membabitkan 54,532 mangsa yang ditempatkan di lebih 300 pusat pemindahan sementara (PPS).
Jumlah tersebut termasuk lima kematian baharu dilaporkan semalam membabitkan empat dewasa dan satu kanak-kanak.
Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 25 kematian diikuti Pahang (18) dan Kelantan (tiga), namun lima dilaporkan hilang di Pahang belum ditemukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tiada kematian terbaharu dicatatkan setakat ini, begitu juga dengan kadar jenayah yang berlaku terutama melibatkan kecurian dan pecah masuk rumah serta premis perniagaan.
“Sehingga semalam, terdapat 15 kes kecurian dilaporkan sejak 17 Disember lalu membabitkan lima kes kecurian kenderaan seperti kereta dan motosikal serta 10 kes pecah rumah dan premis perniagaan.
“Sementara laporan kejadian jenayah melibatkan bencana banjir, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, memaklumkan tiada tangkapan baharu dibuat,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini.
Beliau menambah, polis mempertimbang tindakan individu yang memecah masuk rumah jiran untuk mencari tempat perlindungan berdasarkan keterangan dalam siasatan susulan tular kejadian tersebut dalam media sosial sebelum ini.
Terdahulu, tujuh negeri dilanda banjir iaitu Selangor, Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur Perak, Negeri Sembilan dan Melaka melibatkan jumlah mangsa seramai 48,507 yang ditempatkan di 334 PPS.
Berdasarkan laporan harian, Pahang dilaporkan mencatatkan penduduk terjejas tertinggi iaitu seramai 29,108 orang masih tinggal di PPS, diikuti Selangor (23,302), Kelantan (974), Negeri Sembilan (292), Kuala Lumpur (238), Perak (105) dan Melaka (38).
Dalam pada itu Acryl Sani memaklumkan, seramai 337 anggota dan pegawai polis melibatkan 94 pasukan digerakkan di seluruh negara bagi memantau kejadian banjir bagi mengelakkan daripada kejadian tidak diingini berlaku.
Menurutnya langkah itu diambil berikutan terdapat amaran dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran yang melaporkan masih terdapat 26 lokasi sungai berada dalam kategori bahaya, amaran dan waspada.
Laporan tersebut memaklumkan terdapat sembilan lokasi sungai di Pahang iaitu tiga pada tahap bahaya, tiga amaran dan dua waspada, di Selangor (satu amaran dan dua waspada), Kelantan (dua amaran), Terengganu (satu amaran dan satu waspada), Sarawak dan Johor (tiga waspada), Melaka (dua waspada) dan Kuala Lumpur (satu waspada).
“Sehingga kini Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan terdapat 68 lokasi jalan yang masih ditutup iaitu 46 di Pahang, Selangor (14), Negeri Sembilan (lima) dan Kelantan (tiga),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE