4,309 polis bersedia hadapi kemungkinan banjir di Johor - Utusan Malaysia

4,309 polis bersedia hadapi kemungkinan banjir di Johor

AYOB Khan Mydin Pitchay melepaskan peserta berbasikal sempena Program Santai Cycle Perkep Johor 2021 di IPK Johor di Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 4,309 pegawai dan anggota polis Johor diletakkan dalam mod bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan berlaku bencana banjir ekoran musim tengkujuh yang sedang melanda negeri ini, ketika ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah tersebut melibatkan seramai 415 pegawai dan 3,894 anggota di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri.

“Kita telah mengenal pasti 25 lokasi ‘hotspot’ yang berkemungkinan berlaku banjir di seluruh Johor. Daerah Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi memiliki jumlah lokasi tertinggi iaitu empat lokasi masing-masing.

“Selain kesiapsiagaan anggota, kita juga telah mempersiapkan pelbagai aset antaranya 30 buah bot; 63 kenderaan pacuan empat roda; 43 set generator; 32 buah van dan 10 buah khemah.

“Bagi memastikan kelancaran sebarang operasi yang dijalankan, polis akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Rakyat dan lain-lain agensi,” katanya selepas pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di IPK Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perkep Johor, Senior Asisten Komisioner Datin Zalena Mohd. Ariffin.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar semua agensi berkaitan bersiap siaga dan bertindak pantas dalam usaha penambatan banjir susulan laporan ramalan awal banjir yang dijangka pada esok.

Baginda bertitah agar pihak berkenaan sentiasa memantau situasi di Johor dan akan memastikan segala bantuan dihulurkan kepada rakyat yang terjejas ekoran amaran waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Johor akan dilanda hujan berterusan.

Sementara itu, berhubung program tersebut, Ayob Khan memberitahu program itu disertai seramai kira-kira 300 anggota polis, isteri mereka serta masyarakat awam.

“Selain bertujuan merapatkan hubungan antara warga polis dan masyarakat awam, platform ini juga digunakan untuk mengutip dana yang mana sebahagian daripadanya akan digunakan untuk menyantuni mangsa banjir di negeri-negeri terlibat.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan kepada Perkep Johor, selain Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya