KOTA KINABALU: Seramai 41 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangkiti Covid-19 dan mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster Puncak Ilmu.
Kes indeks kluster ini membabitkan pelajar lelaki berusia 22 tahun yang mengikuti pengajian di Fakulti Sumber Alam UMS dan tinggal di Kolej Kediaman Excellent.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks mula bergejala sejak 1 Disember lalu dan disahkan positif Covid-19 melalui saringan di Pusat Perubatan UMS pada 2 Disember dan telah selesai menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) UMS.
Saringan terhadap kontak rapat mendapati 40 lagi kes positif dikesan dalam kalangan pelajar serta kakitangan UMS.
Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 41 kes termasuk lima kes baharu dan semua kontak yang dijangkiti telah diasingkan dan diberikan rawatan bersesuaian.
Masidi berkata, kluster baharu yang dikesan ini menyebabkan jumlah kes di Sabah naik semula secara mendadak kepada 232 kes berbanding 181 kes dilaporkan semalam.
Hari ini, sebanyak enam kes kematian dilaporkan iaitu dua kes di Ranau manakala masing-masing satu kes di Keningau, Penampang, Semporna dan Tawau.
Menurut beliau, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan agak lewat daripada tarikh sebenar.
Tambahnya, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah adalah 237,535 kes manakala, bilangan kumulatif kes pulih sebanyak 228,585 kes.
Ketika ini terdapat 1,012 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan satu satu orang di fasiliti swasta. -UTUSAN ONLINE