KUALA KEDAH : Seramai 40 artis veteran bersama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) bakal menjayakan Program Jelajah Artis Veteran bagi mempromosikan tempat bersejarah, Kota Kuala Kedah di sini.
Pengerusi PSMCK, Dr. Ibrahim Bakar berkata, artis-artis terbabit mampu menyampaikan sejarah Kota Kuala Kedah kepada peminat mereka termasuk melalui media sosial.
Menurutnya, sejarah Kota Kuala Muda yang menarik itu perlu diketengahkan kepada masyarakat terutamanya generasi muda.
Malah katanya, PSMCK berhasrat mengangkat sejarah Kedah itu di mata dunia untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.
“Pihak kami juga mengalu-alukan pihak-pihak lain untuk bersama-sama memperkenalkan tempat-tempat bersejarah Kota Kuala Kedah ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas sesi beramah mesra bersama 40 artis veteran pada Program Jelajah Artis Veteran di Kota Kuala Kedah di sini hari ini.
Antara artis yang hadir menjayakan program itu ialah Kay Maria, Norlia Ghani, Wan Maimunah, Junainah M.Amin dan Zulkifli Ismail.
Sementara itu, Pengurus Semarak Pictures, Kay Maria berkata, program jelajah bersama artis veteran itu akan berlangsung selama tiga hari dua bagi mempromosikan tempat bersejarah Kota Kuala Kedah di media sosial.
“Melalui jelajah ini juga mereka dapat bertemu peminat setelah lama berehat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menambah ilmu pengetahuan berkaitan sejarah di negeri ini,” ujarnya.
Artis veteran, Zulkifli Ismail berkata, program ini merupakan satu langkah yang baik untuk mempromosikan sejarah di negeri ini tambahan tidak semua dalam kalangan artis ini mengetahuinya.
“Tempat bersejarah banyak, namun tidak semua kita tahu namun dengan penglibatan artis atau orang berpengaruh ini ia akan lebih dikenali kerana mereka ini dapat memperkenalkan di media sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE