LUMUT: Empat mayat terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki ditemukan terapung berhampiran Pulau Buloh, Pulau Sembilan, dekat Bagan Datuk, pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (PUSOP) menerima maklumat awal penemuan empat mayat itu oleh komuniti maritim pada kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, sekitar pukul 9.05 pagi tadi.
Jelasnya, aduan yang sama turut diterima talian MERS 999 dan MRSC Langkawi, seterusnya disalurkan kepada Maritim Perak untuk tindakan selanjutnya.
“Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan rutin rondaan Op Tanjung diatur gerak ke lokasi dan menemukanm kesemua mayat tanpa identiti lebih kurang pukul 2.08 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sehingga kini Maritim Malaysia tidak menerima aduan mengenai orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut berdasarkan penemuan mayat terbabit.
Namun, jelas beliau, pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa kejadian itu terdapat unsur–unsur jenayah di laut dan siasatan lanjut akan dijalankan.
Beliau memberitahu, keempat–empat mayat tersebut dibawa di jeti Kastam Diraja Malaysia Kampung Acheh, Sitiawan, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Shahrizan menggesa komuniti maritim agar membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang tidak menentu. – UTUSAN ONLINE