KUANTAN: Pahang merekodkan mangsa banjir seramai 38,810 daripada 11,561 keluarga yang ditempatkan di 285 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini, setakat pukul 12 tengah hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Che Adam A. Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan ketara secara keseluruhan berbanding semalam iaitu 42,234 mangsa daripada 11,561 keluarga namun masih terdapat peningkatan di beberapa daerah.
“Daerah Kuantan masih lagi merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 16,334 mangsa daripada 4,749 keluarga yang dipindahkan ke 71 PPS, diikuti Temerloh 10,806 mangsa daripada 3,034 keluarga dipindahkan ke 78 PPS dan Bentong seramai 3,732 mangsa daripada 1,184 keluarga dipindahkan ke 14 PPS.
“Bera mencatatkan 1,930 mangsa daripada 545 keluarga yang dipindahkan ke 14 PPS, Jerantut 1,823 mangsa daripada 510 keluarga dipindahkan ke 28 PPS dan Lipis mengalami penurunan drastik iaitu seramai 1,591 mangsa daripada 499 keluarga di 28 PPS.
“Di Pekan meningkat kepada 1,282 mangsa daripada 382 keluarga dipindahkan ke 20 PPS, Raub 714 mangsa daripada 203 keluarga dipindahkan ke 12 PPS dan Maran 598 mangsa terlibat daripada 160 keluarga dipindahkan ke 16 PPS setakat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Che Adam berkata, sebanyak 40 jalan di sembilan daerah ditutup setakat pagi ini disebabkan banjir dan juga tanah runtuh.
“Antara daerah yang terlibat ialah daerah Jerantut, Bera, Raub, Bentong, Pekan, Temerloh, Maran, Lipis dan Kuantan.
“Di Jerantut melibatkan Jalan Sungai Rentang-Padang Piol, Kuala Lipis-Jerantut, Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Genting, Jalan Bukit Puas-Gintong, Jalan Sungai Yap-Pasir Tambang, Jalan Kampung Paya Petai-Sungai Salan, Jalan Paya Rajin, Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau, Jalan Bukit Embun-Tebing Tinggi dan Jalan Ulu Retang-Merting.
“Hanya tiga jalan di Bera iaitu Jalan Gemas Temerloh, Jalan Utama Gugusan Bera dan Jalan Bohor Bahru, di Raub pula hanya Jalan Sengkala-Chenua manakala di Bentong hanya membabitkan Jalan Karak-Simpang Pelangai,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, di Pekan hanya sebatang jalan ditutup iaitu di Jalan Mentiga-Terapai dan Lipis membabitkan lima jalan iaitu Jalan Bukit Kota – Aur Gading, Kuala Lipis – Jerantut, Bentong -Gua Musang, Jalan Benta – Jerantut dan Jalan Kerambit – Limau Purut – Mela.
“Di Temerloh jalan yang ditutup ialah Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, Jalan Gemas –Temerloh, Jalan Temerloh – Mentakab dan Loji Air Batu Sawar, manala di Maran membabitkan Jalan Pekan Sehari – Kg Awah, Jalan Kg. Wau /Kertau, Jalan Serengkam, Jalan Utama Jengka Utara/Selatan dan Jalan Kampung Paya Ladang.
“Di Kuantan ialah di Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan-Endau, Jalan Air Hitam-Kampung Teluk Mahang, Jalan Panching Utara, dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Pandan Damai 1, Jalan Bukit Rangin Perdana 2, Jalan Bukit Rangin 3 dan Jalan Bukit Rangin Damai,” katanya.