IPOH: Kira-kira 226,000 orang atau 35 peratus daripada keseluruhan penduduk Perak sudah mengambil dos penggalak atau dos ketiga vaksin Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, bilangan itu dicatatkan setakat 13 Disember lalu.
Beliau maklum mengenai keengganan penduduk terutama warga emas yang enggan mengambil dos penggalak bercampur iaitu jenama lain daripada jenis vaksinasi yang mereka ambil sebelum ini.
Jelasnya, kerajaan negeri juga maklum mengenai kaedah yang digunakan di Selangor yang mengambil inisiatif menyediakan dos vaksin jenama sama kepada mereka yang enggan mengambil dos bercampur.
“Kita akan beri perhatian terhadap perkara ini termasuk dibawa dalam mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim),” katanya ketika sesi penggulungan portfolionya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE