SEREMBAN: Sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Negeri Sembilan yang menempatkan seramai 329 mangsa terjejas banjir setakat pukul 2 petang ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menerusi maklumat yang dikongsikan memaklumkan, kesemua mangsa yang terlibat terdiri daripada 89 keluarga.
Menurut kenyataan itu, lima buah PPS yang dibuka masing-masing empat buah di daerah Jelebu dan sebuah lagi di daerah ini.
“PPS di Dewan D’Sury yang terletak di Jelebu ketika ini sedang menempatkan jumlah mangsa banjir teramai iaitu 144 orang daripada 41 buah keluarga. Diikuti PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir yang juga di daerah Jelebu iaitu seramai 65 orang mangsa daripada 17 buah keluarga,” katanya.
Sementara itu tambah maklumat tersebut, seramai 15,292 orang daripada 3,837 keluarga terkesan ekoran kejadian banjir yang berlaku pada 18 dan 19 Disember lalu di negeri ini.- UTUSAN ONLINE