KUANTAN: Seramai 31,769 orang mangsa banjir daripada 8,363 buah keluarga kini ditempatkan di 243 buah pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir yang melanda sembilan daerah di negeri ini.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, mangsa terlibat membabitkan 8,587 lelaki dewasa, perempuan dewasa (8,637 orang), kanak-kanak lelaki (4,599 orang), kanak-kanak perempuan (4,368 orang), bayi lelaki (796 orang) dan bayi perempuan (718 orang).
“Turut ditempatkan di PPS, iaitu warga emas lelaki (703 orang), warga emas perempuan, 837 orang, orang kurang upaya (OKU) lelaki (176 orang) dan OKU perempuan (129 orang),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut jurucakap tersebut, Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan yang tinggi, iaitu seramai 17,221 orang di 45 buah PPS, diikuti 56 PPS di Temerloh (5,034 orang), 40 PPS di Raub (2,143 orang), 35 PPS di Lipis (1,897 orang) 33 PPS di Jerantut (1,677 orang).
Katanya, turut masih beroperasi penempatan mangsa di 13 PPS di Pekan (1,181 orang), 15 PPS di Maran (1,363 orang), 2 PPS di Bentong (1,044 orang) dan 6 PPS di Bera (209 orang).
“Mangsa banjir ini mula ditempatkan di PPS berdekatan tempat tinggal masing-masing bermula 17 Disember lalu berikutan kejadian banjir.
“Bagaimanapun ada beberapa buah PPS di Kuantan, Maran, Pekan, Raub, Jerantut dan Lipis mula ditutup semalam dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas air banjir surut,” jelasnya.