PETALING JAYA: Sebanyak RM1.56 juta nilai kompaun dikenakan terhadap 305 individu individu selepas terlibat dalam parti liar kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di Bukit Kiara, dekat sini, malam tadi.
Kesemua ditahan terdiri daripada 189 lelaki dan 110 wanita yang merupakan 216 pengunjung asing dan 87 pengunjung tempatan serta dua penganjur.
Serbuan dijalankan oleh 23 pegawai dan 105 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPDA) Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya turut menahan seramai 216 warga asing dalam serbuan itu.
Katanya,pemeriksaan mendapati semua individu yang diperiksa gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu berkumpul di satu tempat hingga menyukarkan penjarakan sosial.
“Kompaun RM50,000 dikenakan terhadap dua penjaga dan penganjur manakala seramai 303 pengunjung dikompaun RM1.515 juta.
“Kesemua tangkapan dibawa IPD Brickfields untuk disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22(b) Akta 342 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, menurut Amihizam, sisatan turut dilakukan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 2) 2021 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan penetapan MKN bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya.
“Sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara atau apa-apa perbuatan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE