Kira-kira 30,000 usahawan KL, Selangor terjejas banjir

30,000 usahawan KL, Selangor terjejas banjir

BANJIR pada Jumaat lalu memerlukan usahawan mengeluarkan modal lebih banyak berbanding penutupan operasi semasa pandemik Covid-19. – FOTO/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 30,000 usahawan bumiputera di Selangor dan Kuala Lumpur terjejas teruk akibat banjir kilat yang melanda negeri itu ekoran hujan lebat berterusan baru-baru ini.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr. Abd. Halim Husin berkata, bencana itu sememangnya memberi tekanan kepada para usahawan selepas baharu sahaja bangkit semula setelah terkesan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Katanya, ini kerana musibah yang terjadi memerlukan usahawan untuk mengeluarkan modal lebih banyak berbanding penutupan operasi semasa pandemik Covid-19.

“Semasa Covid-19, usahawan tidak dapat menjalankan operasi perniagaan, tetapi keadaan di rumah dan premis kedai adalah seperti biasa.

“Namun, barangan rumah dan peralatan usahawan yang rosak perlu ditukar selepas banjir melanda, jadi ini memberi tekanan kepada usahawan selepas sudah mengumpul barangan untuk mula berniaga.

“Malah, yang paling terkesan adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjalankan perniagaan pengilangan terutamanya di Shah Alam dan tempat-tempat tertentu apabila mesin mereka ditenggelami air seterusnya memerlukan kos yang tinggi untuk membaiki,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Dr. Abd. Halim, DPMM menghargai bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir, namun bantuan itu masih tidak setimpal dengan peralatan rumah dan perniagaan yang rosak akibat banjir.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mengharapkan supaya usahawan yang terjejas itu mendapat moratorium bayaran bulan yang dikenakan terutamanya kelonggaran kepada mereka yang mempunyai status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang terjejas.

“Selama ini rekod CCRIS jadi bebanan kepada usahawan kerana tidak mendapat moratorium dan tidak dipertimbangkan untuk membuat pinjaman setelah dua bulan pada bulan 6 dan 7 lepas tidak menjalankan perniagaan.

“Jadi apabila berlaku banjir besar, kita berharap supaya usahawan yang terkesan ini dapat diberikan bantuan kewangan untuk menghadapi kehidupan di masa dua tiga bulan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing berkata, bencana yang menimpa di beberapa negeri itu adalah suatu perkara yang membimbangkan terutamanya kepada usahawan PKS yang baru mula menjalankan perniagaan semula.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak ramai usahawan PKS yang terjejas berdepan dengan kerugian yang banyak berikutan peralatan-peralatan perniagaan yang terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya