3 kaedah salur wang bantuan ihsan - KSN - Utusan Malaysia

3 kaedah salur wang bantuan ihsan – KSN

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia mengeluarkan mangsa-mangsa banjir kilat di Taman Sri Muda, Shah Alam Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada mangsa banjir di beberapa negeri akan diserahkan menerusi tiga kaedah iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan rumah ke rumah selain pemindahan tunai secara dalam talian (EFT).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat turut memaklumkan bahawa BWI sebanyak RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia disalurkan kepada pihak negeri.

“Bantuan ini diselaraskan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Kaedah ini dilaksanakan untuk mempermudah urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas dengan hanya pengesahan oleh Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkan tanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd. Zuki berkata, sehingga hari ini, kerajaan memperuntukkan RM34 juta untuk disalurkan kepada 34,000 KIR di negeri-negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar pada hari ini.

Kata beliau, jumlah anggaran itu adalah berdasarkan maklumat KIR yang berdaftar di pusat penempatan sementara (PPS).

Menurutnya, usaha mengenal pasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan oleh PKOB dan ICU untuk memastikan BWI dapat disalurkan dengan segera.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zuki berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu bagi pengurusan pembersihan pasca banjir.

Katanya, usaha ini dibantu secara langsung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air khususnya menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenal pasti berdekatan kawasan terjejas banjir.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya