KOTA BHARU: Menjalinkan hubungan intim dengan orang awam dan berkahwin tanpa kebenaran antara 116 kesalahan tatatertib pegawai serta anggota polis di Kelantan yang dikesan sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dua anggota polis dipercayai menjalinkan hubungan intim dengan orang awam manakala seorang lagi didapati berkahwin tanpa kebenaran di Indonesia.
Katanya, ketiga-tiga kes itu masih dalam siasatan dan jika anggota tersebut didapati terlibat, mereka boleh dikenakan amaran atau denda yang sepatutnya.
“Daripada 116 kes itu, 61 kes melibatkan anggota sama dan telah selesai siasatan manakala baki 51 kes masih dalam siasatan.
“Kebanyakan kesalahan warga PDRM Kelantan adalah penyalahgunaan dadah dengan 19 kes, jenayah 16 kes dan rasuah 1 kes,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat IPK Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, sepanjang tahun ini, tujuh anggota dibuang kerja, 32 anggota masih ditahan kerja kerana terlibat dengan kes jenayah, dadah serta rasuah, 15 anggota diberi surat amaran dan lapan anggota menerima surat teguran. – UTUSAN