KEHIDUPAN pascapandemik sudah tentu mengubah keutamaan pembeli hartanah kepada ruang kediaman lebih luas untuk seisi keluarga dan fasiliti yang menarik untuk individu bekerja dari rumah.
Pembeli juga semestinya mengidamkan kawasan yang lebih tenang, pemandangan yang menakjubkan serta dikelilingi kehijauan flora dan fauna apabila memikirkan kebanyakan masa akan dihabiskan di rumah.
Justeru, pemaju hartanah terkemuka Malaysia, UEM Sunrise Bhd menawarkan konsep kediaman dengan gaya hidup di puncak bukit yang memenuhi keperluan tersebut di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.
Terletak di puncak tertinggi Taman Equine, KAIA Heights menggabungkan kehidupan puncak bukit dan alam semula jadi, di mana penduduk dapat menikmati pemandangan Lembah Klang yang menakjubkan sambil dibuai keindahan alam semula jadi dengan rizab kawasan hijau seluas 2.4 hektar.
Setiap unit juga menawarkan pemandangan tanpa halangan kerana kesemuanya direka bentuk menghadap ke arah utara dan selatan, sekali gus memberikan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi yang terbaik.
Selain itu, lokasinya juga amat strategik kerana berdekatan dengan beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuh Raya Maju (MEX), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), sekolah kebangsaan dan antarabangsa, universiti-universiti tempatan, hospital serta beberapa lokasi makanan menarik.
Ketua Pegawai Operasi (Wilayah Tengah) UEM Sunrise, Liong Kok Kit berkata, fasa pertama projek ini terdiri daripada 517 unit kondominium di bawah lingkungan dua blok dengan keluasan dari 972 kaki persegi sehingga 1,437 kaki persegi.
Sejak dilancarkan, jualan fasa pertama KAIA Heights amat memberangsangkan dengan kadar pengambilan sebanyak 60 peratus.
“Kami mengambil berat terhadap semua aspek kehidupan pascapandemik sebelum melancarkan KAIA Heights kerana kini, seisi keluarga bersaing untuk memiliki ruang persendirian di rumah bagi urusan kerja dan persekolahan.
“Lebih menarik, unit jenis B dan C dilengkapi dengan ruang fleksibel di hadapan ruang tamu yang boleh diubah menjadi gim mini, pejabat di rumah, ruang pembelajaran online anak-anak dan sebagainya mengikut cita rasa dan keperluan pembeli,” katanya ketika ditemui di Galeri Jualan KAIA Heights, Seri Kembangan baru-baru ini.
Menurut Kok Kit, antara fasiliti menarik di KAIA Heights adalah pavilion dan ruangan bersama (co-creation space) yang membolehkan penduduk menikmati suasana lebih segar untuk melakukan pekerjaan atau bersantai.
“Kondominium ini juga dilengkapi gim, bilik yoga dan trek jogging sepanjang 1.2 kilometer yang membolehkan penduduk berjoging sambil menikmati keindahan di seluruh kawasan KAIA Heights.
“Sebagai nilai tambahan eksklusif, kami turut menyediakan tapak perkhemahan berlandskap keindahan flora dan fauna di kawasan ini agar mereka dapat mengadakan ‘glamping’ bersama keluarga dengan keindahan malam yang menakjubkan,” ujarnya.
KAIA Heights fasa 1 boleh dimiliki dengan harga serendah RM567,800.
Bagi fasa kedua yang juga terdiri daripada dua blok kondominium, ianya menawarkan kepelbagaian reka bentuk dalaman serta ruang yang lebih besar. Fasa tersebut akan mula dibuka pada akhir suku pertama 2022. – UTUSAN