KOTA KINABALU: Seramai 24 orang pelajar Politeknik Sandakan disahkan positif Covid-19 sehinga mencetus kluster Sungai Batang, Sandakan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster ini melibatkan seorang pelajar lelaki tempatan berusia 19 tahun yang menuntut di Politeknik Sandakan.
Pelajar ini mula bergejala demam dan batuk sejak 12 November lalu dan dikesan positif melalui saringan kit ujian pantas (RTK) antigen di klinik swasta pada hari yang sama.
“Saringan kontak rapat terhadap 29 pelajar serta dua kakitangan mendapati terdapat 24 kes positif bagi kluster ini termasuk 11 kes baharu dalam kalangan pelajar asrama institusi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehingga semalam, kes positif baharu Covid-19 di Sabah kekal tiga angka dengan 467 kes serta tujuh kematian dilaporkan.
Tujuh kes kematian yang dilaporkan membabitkan empat kes di Kota Kinabalu serta satu kes masing-masing di Kudat, Tuaran dan Lahad Datu.
Tambahan kes positif semalam menjadikan kumulatif kes di Sabah berjumlah 233,700 kes dan bilangan kes pulih sebanyak 223,313 orang.
Jelas Masidi, terdapat 1,447 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 623 orang di hospital, 797 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 24 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan tiga orang di fasiliti swasta.
Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 71 orang iaitu 69 di unit rawatan rapi (ICU) dua di wad terbuka kubikel akut dan 23 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
Mengulas lanjut katanya, setakat 30 November, sejumlah 2.44 juta penduduk Sabah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 2.39 juta penduduk menerima dos lengkap.
Daripada jumlah itu, seramai 2.08 juta penduduk dewasa lengkap divaksin manakala, remaja yang lengkap divaksin seramai 307,758 orang atau 70.91 peratus.- UTUSAN ONLINE