24 aduan kenaikan harga makanan, minuman diterima KPDNHEP - Utusan Malaysia

24 aduan kenaikan harga makanan, minuman diterima KPDNHEP

S. VEERAPAN mengadakan tinjauan pemantauan harga barangan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya di Seremban hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 24 aduan diterima pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan berhubung kenaikan harga makanan dan minuman di kedai makan dan restoran dari awal tahun sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, jumlah tersebut daripada sebanyak 142 aduan berkaitan harga yang diterima dalam tempoh yang sama.

“Sebanyak 912 aduan secara keseluruhan diterima daripada pengguna dan antara kategori tertinggi iaitu aduan melibatkan transaksi dalam talian, perkhidmatan mengelirukan, iklan mengelirukan dan bengkel kenderaan bermotor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pemantauan harga barangan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sementara itu, sehingga 7 Disember lalu, pihak penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan telah menjalankan sebanyak 39,948 pemeriksaan di premis-premis perniagaan di seluruh negeri ini.

Jelas Veerapan, daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 532 kes atas pelbagai kesalahan berjaya dikenal pasti dan diambil tindakan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kesemuanya melibatkan nilai kompaun sebanyak RM219,000 dengan nilai denda yang dikenakan sebanyak RM1.34 juta. Nilai rampasan pula adalah sebanyak RM933,154,” katanya.

Tambah S.Veerapan, seramai 108 anggota penguat kuasa di negeri ini akan meningkatkan keberadaan mereka di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui kaedah omnipresence.

“Ia bertujuan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguat kuasa.

“Saya juga mahu mengingatkan peniaga di negeri ini untuk mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya