MARANG: Seramai 23,766 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga mereka dijangkiti virus Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara Mac tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jangkitan tertinggi melibatkan kalangan pegawai rendah apabila seramai 10,577 orang dikesan positif virus berkenaan manakala pegawai kanan (1,794 orang) dan pegawai awam (1,137 orang).
Katanya, bagi ahli keluarga pula, jumlah keseluruhan yang terlibat adalah seramai 10,258 orang.
“Sebanyak 39 kematian akibat Covid-19 direkodkan hingga kini dengan empat daripadanya adalah pegawai kanan polis manakala 35 yang lain adalah pegawai rendah.
“Jumlah itu tidak termasuk tiga kematian membabitkan pegawai awam dan 118 ahli keluarga,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan 26 kereta Toyota Hilux GS Cargo kepada polis Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di Wakaf Tapai, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa.
Mazlan berkata, jangkitan dalam kalangan warga PDRM berlaku ketika kes Covid-19 memuncak di negara kita. – UTUSAN ONLINE