PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua bot nelayan asing Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di lokasi 86 kilometer (km) dan 90.4 km dari Kuala Tok Bali, di sini, Rabu lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, bot pertama bersama 17 awak-awak dan seorang tekong ditahan pada pukul 1.30 petang.
Menurutnya, bot kedua pula ditahan pada pukul 2.15 petang yang dikendalikan empat awak-awak dan seorang tekong kira-kira 4.4 km dari bot pertama.
“Tangkapan 23 nelayan asing Vietnam berusia 18 hingga 47 tahun, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri adalah hasil kejayaan bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Kuda Laut.
“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki permit menangkap ikan di perairan negara di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.
Menurut Khairun Dalilah, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil ikan seberat 1,000 kilogran, minyak diesel sebanyak 1,700 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta. – UTUSAN ONLINE