PETALING JAYA: Seramai 2,153 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas akibat bencana banjir yang melanda di tujuh negeri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu melibatkan 1,081 anggota, 880 pegawai dan 192 kakitangan awam yang berkhidmat dengan PDRM.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa memastikan kebajikan mereka yang terlibat terpelihara.
“Ada yang masih bertugas walaupun balai dan kediaman mereka terjejas.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi mereka. Kita akan memastikan keperluan dan kebajikan anggota dan pegawai yang terjejas terjaga,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Acryl Sani berkata, sebanyak tujuh laporan polis diterima pihaknya berhubung kes pecah premis termasuk kilang, kedai-kedai menjual makanan dan keperluan harian.
“Kita lihat ada segelintir masyarakat terdesak menggunakan alasan bekalan makanan terputus.
“Sedangkan di PPS bekalan makanan dan keperluan adalah mencukupi dan mereka boleh ambil makanan ikut keperluan masing-masing tidak kira warganegara atau tidak,” jelasnya.
Beliau menambah, setiap laporan yang diterima disiasat dan tangkapan telah dibuat.
“Sebanyak 30 pasukan Op Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melibatkan 120 pegawai dan anggota ditempatkan di semua lokasi bagi mengekang kejadian sedemikian berulang,” katanya.
Terdahulu, rata-rata mangsa banjir dalam media sosial memohon PDRM menyediakan kemudahan untuk membuat laporan secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai membuat laporan berkaitan kemusnahan atau kerosakan harta benda yang dialami akibat banjir. – UTUSAN ONLINE