21 kematian akibat banjir setakat hari ini - Utusan Malaysia

21 kematian akibat banjir setakat hari ini

AMIRUDIN Shari dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 21 kematian dilaporkan berlaku di kawasan-kawasan terjejas akibat banjir di seluruh negeri ini akibat hujan lebat sejak selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Kematian mula direkodkan bermula pada Ahad lalu selepas satu demi satu mayat ditemukan di Shah Alam yang melibatkan empat kematian, Desa Coalfields (1), Hulu Langat (3), Klang (1) dan Sepang (2).

Kemudian disusuli pada Isnin dengan catatan sembilan kematian di sini apabila satu mayat ditemukan di Seksyen 13 berdekatan Sungai Damansara dan selebihnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25.

Sementara pada hari ini, 1 kematian dilaporkan juga di Taman Sri Muda membabitkan mayat seorang wanita ditemukan tersangkut dekat pagar pada sebuah rumah di Jalan Wantan, Seksyen 25.

Daripada jumlah itu, dua kematian dilaporkan berlaku di rumah iaitu di Jalan Selamat, Taman Sri Muda dan Seksyen 19.

Berdasarkan jumlah kematian itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa banjir yang dianggarkan sebanyak 30,632 berdasarkan rekod di 203 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri.

“Jumlah itu datang daripada 4,672 keluarga dan berdasarkan daripada perkembangan di peringkat bawahan ataupun akar umbi, angka sebenar mangsa dan keluarga dijangkakan meningkat berdasarkan peningkatan paras air di Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang.

“Ada sebahagian yang meninggal ini bukanlah mangsa sahaja, ada juga melibatkan dalam kalangan sukarelawan. Ada satu kes babitkan sukarelawan, kita berharap mereka bersabar dengan cubaan dan dugaan ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan setakat sehingga pukul 8 pagi tadi, sebanyak 17 kematian dicatatkan di daerah terjejas banjir khususnya di Klang dan memaklumkan puncanya akan diketahui dalam masa terdekat.

Lantaran jumlah kematian yang ramai, Amirudin memberitahu, beliau melancarkan program ‘Selangor Bangkit’ dengan mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir khususnya kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana terbabit.

“Bagi tujuan ini kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta yang akan diusahakan ataupun usaha permulaan Selangor dalam program Selangor Bangkit dengan bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa atau meninggal dunia.

“RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan bencana banjir serta bantuan pembersihan kawasan perumahan, pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan, bantuan kesihatan, pungutan sisa pepejal, pengurusan PPS dan perkara-perkara yang berkaitan,” umumnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan sebanyak 28 agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir antaranya adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Rela, Angkatan Pertahana Awam (APMM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sepanjang, operasi mencari dan menyelamat, sebanyak 453 jentera dan kenderaan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan dan segala tenaga yang telah dikerahkan oleh petugas-petugas barisan hadapan di ketika ini dan melibatkan 2,817 anggota dan pegawai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya