KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri berharap kedatangan tahun 2022 dapat memberikan sinar baharu buat Terengganu dan seluruh rakyatnya untuk bangkit menikmati kehidupan yang lebih baik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa strategi telah dirangka menerusi 147 inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan Terengganu bagi memulihkan ekonomi negeri sekali gus menyokong kelangsungan hidup rakyat.
“Besar harapan saya dan kepemimpinan Terengganu untuk melihat negeri kita dan rakyat bangkit semula untuk tahun mendatang.
“Tiada apa yang lebih menggembirakan selain memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat. Doakan agar kepemimpinan negeri sentiasa diberikan petunjuk oleh Allah SWT untuk terus memikul amanah dan tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya dalam perutusan tahun baharu 2022 yang dimuat naik di laman Facebook di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan Pas Terengganu turut berusaha untuk merealisasikan baki dua daripada 20 manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) parti itu iaitu pembangunan bandar baharu lestari di samping pembinaan institusi pengajian tinggi (IPT) Islam negeri.
Dalam pada itu, beliau turut berdukacita dengan nasib yang menimpa penduduk di beberapa negeri termasuk di Terengganu akibat bencana banjir yang menimpa.
“Di penghujung tahun 2020, negara kita sekali lagi melalui episod duka. Terengganu sudah bersedia seawal bulan September lagi, namun takdir Allah banjir menjejaskan negeri yang jarang dilanda bencana itu.
“Bukan sekadar harta benda yang musnah, bahkan melibatkan korban jiwa, namun atas semangat kemanusiaan, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk munculnya wira-wira dari seluruh pelosok negara bagi meringankan beban mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE