GEORGETOWN: Kira-kira 2,000 penduduk dari Kedah bekerja atau melibatkan diri dalam sektor tenaga buruh di Pulau Pinang setahun.
Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy berkata, mereka merupakan sebahagian daripada seramai 3,500 penduduk Kedah yang berhijrah dari negeri itu ke Pulau Pinang setahun.
Menurut beliau, jumlah penduduk Kedah yang berhijrah itu menyumbang hampir 10 peratus daripada jumlah migrasi masuk ke Pulau Pinang berdasarkan data Jabatan Perangkaan dari 2014 hingga 2020.
“Bagaimanapun, jumlah sebenar dianggarkan lebih tinggi kerana ramai penduduk Kedah yang bekerja di Pulau Pinang tetapi tidak menetap di negeri ini dan berulang-alik setiap hari,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Ramasamy (DAP-Perai) menjawab soalan lisan M. Satees (DAP-Bagan Dalam) berhubung anggaran penduduk Kedah yang bekerja di Pulau Pinang khususnya dalam sektor swasta.
Ramasamy menambah, berdasarkan analisis Penang Institute, jumlah penduduk dari wilayah utara iaitu Kedah, Perlis dan Perak yang berhijrah ke Pulau Pinang pula adalah stabil iaitu 7,550 orang setahun antara 2014 hingga 2018 dengan 4,300 daripada mereka terlibat dalam tenaga buruh.
“Namun pada tahun lalu, bilangan migran menurun sebanyak 35 peratus kepada hanya 4,200 orang dengan anggaran 2,500 terlibat dalam tenaga buruh.
“Penurunan ini besar kemungkinan disebabkan oleh pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN