ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO tidak ketinggalan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di beberapa negeri ketika ini.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, bahagian-bahagian Pemuda UMNO di kawasan terjejas kini memfokuskan kepada usaha menyelaras bantuan kepada golongan memerlukan dan memastikan semua penduduk mendapat keperluan asas diperlukan.
Selain itu, katanya, lebih 2,000 ahli Pemuda UMNO serta Skuad Sabil dari bahagian-bahagian UMNO yang tidak terjejas pula digerakkan untuk membantu dari segi penyerahan bantuan serta kerja-kerja pembersihan yang giat dijalankan.
“Selain rumah penduduk, kawasan awam seperti pusat ibadah, sekolah, balai raya dan banyak lagi kawasan terjejas dibantu Pemuda UMNO dari seluruh negara.
“Rangkaian Pemuda UMNO yang luas dari Perlis hingga ke Sabah dapat sedikit sebanyak membantu negara berikutan kejadian banjir yang telah menjejaskan kehidupan mangsa terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menyumbang bagi membantu mangsa-mangsa banjir terlibat boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank CIMB milik Pemuda UMNO Malaysia bernombor 8000632311. – UTUSAN ONLINE