KOTA BHARU: Dua pemimpin Geng Adik Mat yang mendalangi kegiatan samun bersenjata dan pengedaran dadah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di sebuah pondok di Kampung Batu Papan, Gua Musang, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kedua-dua penjenayah terbabit masing-masing berusia 29 tahun dan 36 tahun yang juga dipercayai ketua dan pemimpin kanan Geng Adik Mat disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, terdahulu serbuan di pondok dua tingkat tersebut dilakukan pegawai dan anggota unit khas Cawangan Jenayah Berat D9 Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
“Pada mulanya salah seorang suspek berada di tangga pondok manakala seorang lagi berada di tingkat atas terus terjun dan cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pasukan polis, sambil kedua-dua suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
“Bagaimanapun selepas cuba melarikan diri dalam jarak kira-kira 200 meter, mereka berdua ditembak mati,” katanya dalam sidang akhbar IPK Kelantan hari ini.
Shafien berkata, dalam kejadian itu, pihaknya merampas dua pucuk pistol, 45 biji peluru hidup pelbagai saiz, tiga kelongsong peluru saiz 9mm dan 1,200 biji pil yaba.
“Kedua-dua suspek ini dikehendaki polis berkait kejadian samun bersenjata, ugutan jenayah dan kegiatan pengedaran dadah sejak 2018. Dengan tumpasnya Geng Adik Mat, kita percaya dapat menyelesaikan lapan kes jenayah samun di sekitar Gua Musang.
“Ketua kumpulan sindiket berkenaan adalah suspek yang berusia 29 tahun, mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah. Suspek kedua yang juga anggota kumpulan berusia 36 tahun mempunyai empat rekod jenayah,” katanya.
Menurut Shafien, pihaknya sedanng mengesan saki baki ahli kumpulan terbabit yang dipercayai masih berkeliaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960. – UTUSAN ONLINE