Seramai 183 mangsa banjir Melaka terima tunai RM1,000

183 mangsa banjir Melaka terima tunai RM1,000

ISHAK Mohd. Din menunjukkan sampul bantuan tunai RM1,000 diterimanya pada Program Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan NADMA Daerah Melaka Tengah, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 183 mangsa banjir kilat di negeri ini mula menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 yang diumumkan kerajaan sebelum ini. 

Sumbangan bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman. 

Menurutnya, setakat ini seramai 183 mangsa telah diberikan BWI bagi daerah Melaka Tengah yang membabitkan lima dewan undangan negeri (DUN).

“Pada program hari ini kita telah menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas teruk di kawasan Ayer Molek, Paya Rumput, Ayer Keroh, Bukit Katil dan Kesidang.

“Seramai 183 mangsa telah diberikan bantuan RM1,000 bawah BWI, kita harap sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban kerugian ditanggung mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Penyampaian  Sumbangan Wang Ihsan Nadma Daerah Melaka Tengah. 

Katanya, selain sumbangan itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM200 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas sama ada berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak, bawah Tabung Bencana Alam Negeri Melaka. 

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Zainal Yahya, 32, yang menetap di Taman Merdeka di sini berkata, dia tidak menyangka jumlah bantuan yang diterima kali ini dinaikkan sehingga RM1,000.

“Sebelum ini bantuan, kami menerima antara RM200 hingga RM500, namun tidak sangka jumlah dinaikkan sehingga RM1,000. 

“Bantuan ini amat kami perlukan lebih-lebih lagi bencana kali ini turut menyebabkan ubat-ubatan ayah saya yang menghidap diabetes rosak dan dihanyutkan air bah,” katanya.

Tambahnya, setiap kali banjir kilat melanda, rumahnya akan turut ditenggelami air serendah paras betis. 

Dalam pada itu, Ishak Mohd. Din, 58, pula memberitahu, bantuan itu secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk  membantu mangsa banjir.

“Alhamdulillah, dengan bantuan ini dapatlah kami menggantikan perkakas asas rumah yang rosak dalam kejadian banjir kilat termasuklah dapur memasak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya