PEKAN: Seramai 180 mangsa banjir daripada 30 keluarga di tiga kampung di daerah ini, selamat dipindahkan berikutan paras air sungai yang meningkat secara mendadak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Afendi Wan Mahmud berkata, kampung yang terlibat iaitu Kampung Pelak, Kampung Tanjung Cempaka dan Kampung Bunut.
Menurutnya, mangsa banjir di ketiga-tiga kampung berkenaan terputus hubungan sejak semalam.
“Semua mangsa sudah dikumpulkan oleh ketua kampung masing-masing dan bersedia di tebing sungai sejak awal untuk diselamatkan oleh pihak bomba. Operasi tersebut dilakukan dengan kadar segera bagi mengelak keadaan dan situasi yang semakin memburuk.
“Tambahan pula dalam operasi tersebut, pihak penyelamat terpaksa berdepan dengan arus sungai yang deras untuk menyeberangi Sungai Pahang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Turut terlibat dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd. Nizar Najib.
Mengulas lanjut, Wan Samsul berkata, operasi melibatkan kekuatan anggota seramai 21 orang daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Peramu dan Chini.
“Dalam pada itu, kami turut dibantu anggota daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai yang membawa tiga buah bot dan kenderaan pacuan empat roda.
“Kita berharap setiap operasi berjalan dengan lancar dan semua mangsa dapat memberi kerjasama yang baik. Semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai,” katanya.