PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setakat ini menerima 1,600 panggilan kecemasan melibatkan bencana banjir di Selangor dalam tempoh 24 jam sejak semalam.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, cabaran utama pihaknya adalah untuk memberi respons cepat.
“Daripada 1,800 panggilan kecemasan dalam tempoh 24 jam ini, sebanyak 1,600 melibatkan kejadian banjir di Selangor.
“Bagaimanapun, halangan utama adalah bagaimana untuk masuk ke kawasan terjejas dengan jalan yang ditutup malah ada kereta yang terperangkap di jalan.
“Kita mohon mangsa untuk bersabar dan kita akan cuba masuk untuk membantu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, pihaknya bersedia menggerakkan lima helikopter dengan kekuatan 40 anggota bagi melaksanakan operasi membantu mangsa di beberapa negeri yang terjejas akibat banjir.
Menurutnya, seramai 40 anggota dan pegawai dikerahkan untuk melaksanakan operasi membantu mangsa banjir menggunakan helikopter.
Jelas beliau, dua lokasi tumpuan pasukan setakat ini ialah di Hulu Langat, Selangor dan Bentong, Pahang.
“Anggota diarahkan untuk mengenal pasti lokasi dan keadaan cuaca cerah sebelum melaksanakan operasi itu, bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini berlaku terutamanya apabila keadaan hujan.
Hampir 4,000 penduduk di sekitar Selangor terkesan bencana banjir susulan hujan berpanjangan sejak kelmarin.
Mereka kini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara malah ribuan pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup selepas dinaiki air.