SINTOK: Seramai 155 sukarelawan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di Selangor sejak Rabu lalu.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Haim Hilman berkata, sukarelawan tersebut yang terdiri daripada 141 pelajar dan 14 kakitangan itu akan menjalankan kerja-kerja membersih rumah-rumah mangsa banjir yang terjejas.
Kata beliau, UUM turut menghantar empat bas dan lori yang membawa bekalan air bersih dan makanan untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir terlibat.
“Bencana ini telah menyebabkan ramai kehilangan aset, malah ada yang hilang punca pendapatan akibat kerosakan premis dan peralatan perniagaan.
“Oleh itu, dedikasi yang ditunjukkan warga UUM ini membuktikan kita peka dan mengambil berat terhadap masalah dan keperluan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Dr. Haim memberitahu, UUM juga menyalurkan bantuan sebanyak RM160,000 kepada lebih 800 pelajar yang terkesan akibat bencana itu.
“UUM juga telah membuka Tabung Bencana Banjir UUM bagi memberi peluang kepada orang ramai menghulurkan menyumbang dalam bentuk kewangan kerana semua mampu untuk sama-sama menyumbang tenaga membantu mangsa banjir,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Sukarelawan UUM, Mohd. Khairone Md. Khatidin berkata, sukarelawan UUM itu dibahagikan kepada beberapa lokasi yang terlibat dalam kejadian banjir seperti kolej penginapan UITM Shah Alam, Puchong Indah, Padang Jawa, Taman Restu, Hulu Langat, Kota Raja, Kapar dan Sepang. -UTUSAN ONLINE