SUNGAI PETANI: Sebanyak 15 lori lima tan milik ahli-ahli kumpulan pemandu lori yang dikenali Group Pergi Pulang Pagi (GP3) tidak ketinggalan membantu menghantar barangan keperluan kepada mangsa banjir di Pahang, hari ini.
Pengasas GP3, Mohd. Saiful Awang, berkata, beberapa buah pacuan empat roda juga bergerak secara konvoi dari tempat pengumpulan barang bantuan banjir di Jeti Sungai Merbok di sini ke destinasi agihan pertama di Bentong sebelum ke lokasi-lokasi berikutnya.
Katanya, seramai 70 ahli melibatkan pemandu lori dari Kedah, Pulau Pinang dan Perlis serta sukarelawan daripada Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia (PIAMM) menyertai konvoi tersebut.
“Mereka akan menghantar bantuan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi seperti di Bentong, Raub, Mentakab, Karak Temerloh dan Bera,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Saiful berkata, pihaknya mula mengumpul barangan keperluan hasil sumbangan orang ramai selepas membuat hebahan di media sosial sejak semalam. – UTUSAN ONLINE