KUALA NERUS: Seramai 139 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) terjejas akibat banjir di seluruh negeri.
Naib Canselornya (Yang Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, mangsa tertinggi membabitkan pelajar dari Selangor dengan seramai 68 orang diikuti Pahang (40 orang), Kelantan (14 orang), Terengganu (lima orang) dan Kuala Lumpur (empat orang).
“Siasatan mendapati 54 pelajar berdepan banjir teruk manakala banjir sederhana (18 orang) dan banjir biasa (32 orang).
“Bagaimanapun, kesemua pelajar yang ditimpa bencana banjir itu tidak berdepan kehilangan nyawa ahli keluarga,” katanya selepas majlis pelepasan 100 sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir ke Selangor di sini hari ini.
Fadzli berkata, di Selangor, pelajar yang terkesan bencana banjir ialah di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat.
Katanya, di Pahang pula, mangsa tertinggi adalah di Kuantan dengan seramai 28 orang di samping masing-masing dua di Karak, Kuala Lipis dan Temerloh.
Dalam perkembangan sama, katanya kesemua 100 sukarelawan Hero Komuniti itu akan berkhidmat selama tiga hari hingga Ahad di Selangor.
“Selain bantuan membersih kediaman, Unisza turut memberi bantuan kewangan di samping makanan asas kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN