KUANTAN: Sebanyak 13 buah loji rawatan air (LRA) yang melibatkan daerah Kuantan, Temerloh, Bentong, Lipis dan Raub tidak dapat beroperasi akibat terkesan dengan kejadian banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Saiful Zaini Mohd. Bokhari berkata, penutupan LRA bermula pada 18 Disember lalu dengan penutupan empat buah LRA.
Bagaimanapun katanya, penutupan itu meningkat kepada 13 buah LRA disebabkan peningkatan paras air sungai dan terputus bekalan elektrik.
“Berikutan daripada henti tugas LRA ini, telah mengakibatkan sebanyak 53,916 akaun pengguna mengalami masalah gangguan bekalan air.
“Bantuan penghantaran bekalan air bersih dan tangki statik telah ditempatkan ke kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terjejas.
“Namun, masih terdapat banyak kawasan yang dinaiki air menyebabkan kesukaran penghantaran bekalan air terawat melalui lori tangki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saiful Zaini berkata, Paip menasihatkan orang ramai agar senantiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.