1,200 motosikal masuk ke Langkawi secara konvoi diperiksa  - Utusan Malaysia

1,200 motosikal masuk ke Langkawi secara konvoi diperiksa 

SEBAHAGIAN penunggang menolak motosikal untuk diperiksa oleh polis sejurus tiba di Kompleks Dermaga Tanjung Lembong, Langkawi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak 1,200 buah motosikal yang memasuki pulau ini secara konvoi diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebaik sahaja tiba melalui jeti di Kompleks Dermaga Tanjung Lembong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, daripada jumlah motosikal yang diperiksa itu, sebanyak 473 buah motosikal dikesan melakukan pelbagai jenis kesalahan dan polis mengeluarkan sebanyak 606 saman.

Menurutnya, kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi.

Katanya, sebanyak 104 saman turut dikeluarkan oleh JPJ dan sebuah motosikal turut disita.

“Pemeriksaan itu mula dilakukan sejurus motosikal tersebut tiba di Langkawi melalui sebuah perkhidmatan feri pengangkutan (RORO) pada pukul 5 petang semalam.

“Sebahagian motosikal itu juga tiba melalui RORO pada pukul 9 malam dan 11 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shariman memberitahu, rata-rata penunggang motosikal tersebut adalah dari Lembah Klang, Terengganu, Kelantan dan Johor Bahru.

“Kesemua mereka telah diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang berada di Langkawi,” jelasnya.

Semalam, tular video berdurasi tiga minit yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal ‘disambut’ oleh polis sebaik mereka tiba di Kompleks Dermaga Tanjung Lembong di sini.

Kumpulan penunggang motosikal itu yang bergerak secara konvoi berkunjung ke Langkawi untuk menyambut tahun baru di pulau peranginan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya