PUTRAJAYA: Seramai 120 sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berlepas ke tiga kawasan angkat JPM yang terjejas banjir bagi memulakan misi bantuan pembersihan pasca banjir iaitu di Bentong, Pahang dan Kuala Selangor serta Petaling, Selangor.
JPM dalam satu kenyataan memaklumkan, sesi pelepasan konvoi melalui tiga buah bas yang membawa pasukan sukarelawan itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Jamil Rakon.
Kataya, pasukan sukarelawan JPM ini bergerak setiap hari ke kawasan-kawasan yang ditetapkan dalam usaha membantu penduduk terjejas bencana itu khususnya dalam aktiviti pembersihan pasca banjir.
“Setiap kawasan melibatkan kumpulan 40 sukarelawan turun ke Kampung Asahan, Kuala Selangor selain 40 lagi sukarelawan ke Taman Makmur Jaya dan Taman Sri Makmur, Bentong, Pahang bagi membantu membersihkan kediaman penduduk.
“Seramai 40 orang sukarelawan lagi turun ke Surau Hidayatul Islamiah, Kg. Baru Hicom, Petaling bagi meringankan beban mangsa bencana itu,” katanya dalam kenyataan hari ini – UTUSAN ONLINE