KUALA LUMPUR: Seramai 12 sahabat wanita dikenali sebagai ‘Magnet Team’ tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di Hulu Langat, dekat sini, dengan tampil menghulurkan bantuan makanan.
Jurucakap Magnet Team, Puan Sri Nisa Bakri berkata, inisiatif bantuan digerakkan adalah hasil keprihatinan rakan-rakan karibnya yang dapat merasakan kesukaran dihadapi mangsa banjir.
Katanya, atas kesedaran dan keprihatinan, mereka sepakat menyampaikan bantuan berupa bungkusan makanan serta pes masakan ‘Ready To Cook’ kepada mangsa banjir.
“Kami pun turun ke lokasi di Hulu Langat dan menyerahkan kira-kira 250 bungkus nasi kandar dan nasi ayam untuk para penduduk di beberapa lokasi.
“Selain itu, kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pertubuhan Insyirah, JKKR Soeharto, KRF Komuniti serta Pertubuhan Kasih Neelofa untuk bersama-sama menyumbang 300 bungkus pes masakan segera NisaBakri (Pes NB) yang sangat mudah disediakan serta mengenyangkan,” katanya selepas Misi Penyerahan Sumbangan Magnet Team Kepada Mangsa Banjir di Hulu Langat, semalam.
Nisa berkata, alternatif itu sebagai satu pilihan makanan yang ringkas, cepat dan sesuai untuk semua kelompok masyarakat di lokasi banjir yang diketahui semua bahawa keadaan yang sukar untuk menyediakan keperluan makanan sendiri.
Selain itu katanya, pihaknya juga menyerahkan pakaian terpakai yang dikumpul rakan-rakan untuk diagihkan kepada penduduk bagi kegunaan sementara.
“Kami menerima banyak sumbangan pakaian yang sudah diasingkan mengikut jenis dan saiz seterusnya dibersihkan sebelum diedar kepada mangsa di Hulu Langat bagi ringankan beban mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang apabila barangan keperluan ditenggelami air serta berlumpur,” katanya.
Dalam perkembangan sama, rakan paling lama dalam Magnet Team iaitu Puan Sri Datuk Zainab Kader, 75, isteri mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Ibrahim Saad mengetuai misi bantuan kepada mangsa di beberapa lokasi termasuk Masjid Hulu Langat.
Selain beliau, beberapa penggerak misi bantuan ini antaranya bekas Pegawai Polis Wanita, Datuk Fatimah Abdul Hamid, Suzimah Hazish, Marina Kenistio dan Alex Navanith turut berperanan bagi memperkuat serta melancarkan lagi fasa agihan. – UTUSAN ONLINE