PETALING JAYA: Sebanyak sebelas kilang memproses ayam diluluskan untuk mengeksport daging dan keratan haiwan berkenaan ke negara ini.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, sembilan kilang terletak di Thailand manakala dua lagi di China.
Malah, katanya, semua kilang tersebut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga 2023.
“Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu The Central Islamic Council of Thailand dan di China iaitu Shandong Halal Certification Services adalah masih sah tempoh pengiktirafan Jakim.
“Senarai loji-loji di laman sesawang DVS dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.
“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memberi kebenaran mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan, bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun depan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berkata, kebenaran mengimport ayam bulat sejuk beku itu bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran bermula bulan ini. – UTUSAN ONLINE