10,200 pengusaha kantin mohon pengecualian sewa kantin 2022 - Utusan Malaysia

10,200 pengusaha kantin mohon pengecualian sewa kantin 2022

Siti Normah Md. Desa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 10,200 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara memohon Kementerian Pendidikan untuk memberikan pengecualian sewa kantin bagi tahun 2022 depan,

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, perkara itu antara cadangan yang dirasakan sesuai dan boleh membantu para pengusaha kantin berikutan sistem penggiliran murid apabila kedatangan mereka ke sekolah masih tidak sepenuhnya.

Pihaknya juga memohon agar kementerian berkenaan untuk membuat semakan semula harga makanan dan kadar bayaran pemberian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sangat rendah pada masa ini iaitu hanya RM2.50.

“Ini kerana kadar tersebut sudah dirasakan sangat tidak relevan dengan kenaikan harga bahan mentah yang melampau dan tidak terkawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut beliau, pihaknya juga berharap agar Kementerian Pendidikan dapat menyemak semula dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih sesuai untuk kantin sekolah beroperasi.

“Antara cadangannya dengan membenarkan murid turun membeli ke kantin dengan pemantauan guru dan mengikut SOP yang ketat.

“Menggunakan sistem atas talian untuk tempahan awal makanan yang mana melibatkan semua murid.

“PPKSM menyambut baik sekiranya pihak kementerian sudi berbincang secara dua hala bagi mendapatkan kaedah yang terbaik bagi mengatasi permasalahan ini,” ujarnya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kira-kira 70 peratus atau 7,140 daripada 10,200 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara mendakwa mereka dalam keadaan nyawa-nyawa ikan berikutan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah dan masalah harga barangan mentah terus melambung.

Daripada jumlah tersebut, 300 pengusaha kantin sedang berkira-kira menarik diri daripada perniagaan tanpa menghiraukan deposit hangus.

Dalam pada itu, Siti Normah berkata, pihaknya juga meminta pihak Kementerian Pendidikan untuk turun padang melihat bagaimana pengusaha kantin bertungkus lumus menyediakan makanan kepada murid-murid dan dalam masa sama berdepan dengan kos-kos yang semakin meningkat.

Katanya, ini kerana pengusaha kantin bukan sahaja merancang untuk menarik diri dari menguruskan kantin sekolah, malah sudah ada yang gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ujarnya, perkara itu amat membimbangkan PPKSM dalam memastikan semua pengusaha kantin tidak mengalami nasib yang teruk akibat ketidaktentuan ekonomi masa kini,

“PPKSM telah melakukan pelbagai usaha mendapatkan bantuan kewangan dan bantuan lain bagi memastikan pengusaha kantin masih boleh bertahan menempuh situasi yang sukar.

“Dengan kenaikkan harga barang, pembukaan sekolah mengikut SOP yang ditetapkan, sistem penggiliran, ini semua memang menjejaskan pengusaha kantin,” ujarnya.

Tambah beliau, PPKSM juga sudah cuba menyuarakan permintaan dan cadangan yang boleh membantu para pengusaha kantin kepada kerajaan dan kementerian tersebut.

“Antaranya dengan menyerahkan memorandum pada 28 Oktober lalu bagi memaklumkan kesukaran yang dihadapi pengusaha kantin sepanjang pandemik Covid-19 ini.

“PPKSM sangat berharap pihak kementerian mengambil cakna dan memberikan respon kepada memorandum tersebut,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya