JELEBU: Seramai 1,007 orang daripada 1,476 mangsa yang terjejas banjir di Parlimen Jelebu menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) masing-masing.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, wang ihsan berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir itu disampaikan sejak minggu lalu.
“Seramai 1,007 daripada 1,476 penerima telah mendapat wang ihsan yang diberikan kepada mereka yang terjejas bencana banjir. Bagi Parlimen Jelebu, sebanyak 90 peratus KIR telah menerima wang bantuan berkenaan. Terkesan dengan keadaan rakyat di Parlimen Jelebu ini, saya sendiri turun padang menyerahkan bantuan wang ini bagi memastikan mereka yang terjejas dapat menerima wang ini dengan segera.
“Esok merupakan hari terakhir pemberian wang ihsan ini kepada mangsa terjejas banjir di kawasan Parlimen Jelebu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan banjir di Sekolah Kebangsaan Dato’ Undang Abdullah, Kampung Chennah, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE