1,000 penduduk Lubok China putus hubungan - Utusan Malaysia

1,000 penduduk Lubok China putus hubungan

ANGGOTA bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu mengeluarkan mangsa banjir yang terperangkap di Lubok China, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Hampir 1,000 penduduk di Lubok China di sini terputus laluan jalan, bekalan elektrik dan air susulan kejadian banjir kilat yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di salah sebuah kampung di Sungai Jerneh mendapati, laluan utama untuk keluar dan masuk ke kawasan itu ditutup selepas ditenggelami air banjir kira-kira paras pinggang. 

Tiga buah perkampungan lain yang terjejas teruk adalah di Titian Bintangor, Sawah Raja dan Sungai Timun yang menempatkan lebih 200 buah rumah. 

Seorang penduduk, Mohd. Zaidi Abdul Muiz, 40, berkata, dia dan keluarganya terputus hubungan sejak pukul 5.30 pagi semalam dan terpaksa menyelamatkan barangan rumah dalam keadaan gelap-gelita. 

“Laluan utama telah ditenggelami air, manakala elektrik juga telah diputuskan awal pagi semalam atas faktor keselamatan.

“Bagaimanapun saya dan kebanyakan penduduk kampung masih berada di rumah kami untuk berkemas, menyelamatkan mana-mana barangan yang penting sebelum ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya. 

Ujarnya, kebiasaanya air banjir akan surut dengan cepat sekiranya cuaca baik, namun sekiranya hujan lebat berterusan, beberapa rumah di perkampungan itu akan tenggelam.

Sementara itu, Mazlan Mat Laji, 49, yang menetap di Kampung Titian Bintangor memberitahu, bencana itu adalah yang terburuk pada tahun ini dengan air banjir mencecah sehingga empat meter.

“Air banjir naik cepat sangat, dalam pukul 4 pagi air mula mencecah paras pinggang dan semakin tinggi selepas hujan lebat berterusan, malah kira-kira 20 rumah telah tenggelam sepenuhnya. 

“Banyak laluan utama telah ditutup termasuk jalan ke Pekan Lubok China,” katanya.

Sementara itu, TNB Careline dalam kenyataaan dikeluarkan berkata, pihaknya terpaksa menutup bekalan elektrik di beberapa pencawang bagi memastikan keselamatan para pengguna di 11 lokasi banjir di Alor Gajah.

Kawasan terjejas bekalan bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal adalah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pengkalan, Kampung Panchor dan Kampung Beringin

Bagi DUN Rembia, DUN Tanjung Bidara dan DUN Taboh Naning pula, kawasan terjejas masing-masing adalah Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Jeram Masjid Tanah dan Kampung Taboh Naning selain Pekan Lubok China dan Ramuan China Besar bagi DUN Ayer Limau.

“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

“Sebagai tips keselamatan, penduduk diminta sentiasa berhati-hati ketika cuba mengendalikan peralatan elektrik kerana bekalan mungkin akan dipulihkan pada bila-bila masa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya