SHAH ALAM: “Terlalu cepat dan saya tidak berbuat apa-apa, kemalangan itu ragut nyawa isteri dan lapan anak saya, mereka ada dalam kereta di bawah lori treler itu”.
Demikian luahan pilu Abd. Razak Majid, 50, yang terselamat dalam nahas mengorbankan 10 nyawa berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE, dekat sini, kelmarin.
Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika ditemui masih trauma untuk menceritakan kejadian bersama arwah isterinya, Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anak pulang ke rumah mereka di Padang Jawa, di sini.
“Namun, kereta Proton Wira dipandu saya tiba-tiba mengalami kerosakan bateri dan terpaksa berhenti di tepi jalan.
“Selepas memeriksa keadaan kereta, saya menyedari diri sudah terbaring atas jalan dan melihat kereta kami sudah berada di bawah lori treler,” katanya sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, hari ini.
Tambahnya, dia hanya mampu tergamam dan terbayang isteri dan anak-anaknya di dalam kereta berkenaan selepas tercampak ketika lori terbabit merempuh kenderaan tersebut.
Rempuhan itu turut meranapkan sebuah Proton Wira yang dipandu mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dan sebuah Perodua Axia dinaiki dua anak saudaranya, Mimie Nafiesa Abdullah, 19, dan Ihyat Sufi Shokip, 20.
Mohamad Rahimi dilaporkan terkorban sementara Mimie Nafiesa dan Ihyat Sufi mengalami kecederaan.
Sementara itu, jenazah sembilan beranak berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan berkenaan, kira-kira pukul 1.30 petang selepas dimandikan dan disembahyangkan di Unit Forensik Shah Alam bermula pukul 9 pagi.
Jenazah termasuk empat yang disahkan positif Covid-19 dikebumikan mengikut turutan usia bermula daripada Allahyarham Norul Naziah yang juga ibu kepada keluarga itu.
Kemudian diikuti anak sulung, Allahyarham Razarul Amin Abd. Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.
Empat lagi anak suri rumah itu yang turut maut iaitu Allahyarham Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.
Bagaimanapun, Mohamad Rahimi, selamat dikebumikan lebih awal di tanah perkuburan sama, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Jelas Abd. Razak, dia bersyukur semua urusan pengebumian itu berjalan lancar dan disemadikan dalam satu liang lahad.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis yang membantu urusan kami sejak semalam.
“Biarpun perit, kami redha dengan ketentuan Ilahi dan mendoakan roh isteri serta lapan anak damai di alam sana,” katanya.
Tambah beliau, kemalangan itu mengakibatkan kecederaan pada kaki kanannya dan masih dalam proses rawatan.
Kelmarin, perjalanan pulang 10 beranak ke rumah mereka di Padang Jawa di sini, bertukar tragedi apabila sembilan daripada mereka maut selepas menghadiri majlis kenduri keluarga di Melaka.
Kemalangan kira-kira 12.09 tengah malam itu berlaku ketika kereta Proton Wira dinaiki mereka berhenti di tepi jalan lebuhraya kerana mengalami kerosakan.