SHAH ALAM: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 10 mangsa di Kilometer 8.3 Lebuhraya ELITE, dekat sini, Jumaat lalu akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, lelaki berusia 37 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini.
Katanya, kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah dilengkapkan pihaknya.
“Kertas siasatan itu telah dimajukan ke Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan keputusan. Keputusan yang diperoleh adalah mendakwa suspek di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Fairus, pendakwaan ke atas lelaki yang direman selama empat hari itu akan dijalankan kira-kira pukul 9 pagi.
Jumaat lalu, tragedi menyayat hati itu berlaku ketika seorang ibu bersama lapan anaknya termasuk seorang bayi lelaki menuju pulang ke rumah mereka di sekitar Padang Jawa, di sini.
Lebih memilukan, ketika kejadian kereta Proton Wira dinaiki keluarga itu sedang berhenti di tepi jalan akibat mengalami kerosakan sebelum dipercayai dilanggar sebuah treler.
Mangsa yang terkorban adalah Norul Naziah dan empat anaknya iaitu Razarul Amin Abd. Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.
Empat lagi anak suri rumah itu turut maut iaitu Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.
Tragedi itu turut mengorbankan Mohamad Rahimi Rolex yang dipercayai mahu membantu membaiki kereta keluarga tersebut.
Jenazah sembilan beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, kira-kira 1.30 petang semalam.
Mohamad Rahimi turut dikebumikan di tanah perkuburan itu pada pukul 1 pagi hari sama.