PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara perlu pantas memanfaatkan aplikasi media sosial sebagai wadah efektif penyampaian dakwah lebih luas.
Saranan tersebut disuarakan oleh Yang Dipertuanya, Nasruddin Hassan selain penggunaan pelbagai bahasa untuk penyebaran mesej terus kepada kelompok sasaran yang tertentu.
“Ini antara cadangan yang diutarakan kerana NGO terlibat tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah medium tradisional sahaja dan tidak terhad hanya bahasa kebangsaan,” katanya selepas menyertai Program Pertemuan Pemimpin Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan NGO Islam anjuran Yadim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nasruddin yang berpuas hati dengan sambutan peserta terlibat selama lebih dua jam itu meminta NGO terbabit agar lebih kreatif mengeksploitasi platform media sosial.
“Dakwah boleh jangkaui seluruh dunia dan dapat dilihat ketika Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang tahun lalu apabila rakyat di rumah habis masa dengan melayari internet,” katanya.
Bahkan beliau memberi contoh kejayaan Yadim dalam penganjuran tazkirah 24 jam dalam talian membabitkan 24 penceramah agama tempatan dan luar negara pada 19 Oktober lepas.
Program kali pertama tersebut yang diadakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1443H dan Bulan Dakwah 2021 itu malahan diiktiraf oleh pihak Malaysia Book of Records.
Pada masa yang sama ujar Nasruddin, penggunaan pelbagai bahasa seperti Mandarin, Tamil, Inggeris dan sebagainya, bukanlah bermaksud tidak memartabatkan bahasa kebangsaan. – UTUSAN ONLINE