KOTA BHARU: Pemilik animasi popular Kelantan, ‘Wokyoh, Samad dan Said’ kecewa apabila karya yang didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan meraih keuntungan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Royhadlin Hussain, 49, berkata, rasa kecewa sukar digambarkan apabila karya hasil titik peluhnya ‘dirompak’ dan dimuat naik secara berleluasa pelbagai pihak di laman sosial terutama aplikasi TikTok.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/WOKYOH-2-re.jpeg)
“Saya sedih dan sakit hati, siapa yang tak sakit hati kalau karya kita digunakan tanpa kebenaran. Jadi saya menyeru kepada pihak terlibat supaya tidak lagi ‘mencuri’ karya-karya animasi Wokyoh, Samad dan Said itu lagi.
“Saya tiada niat untuk memperbesarkan isu ini. Namun sebagai pemilik, saya mempunyai hak kerana ia hasil titik peluh yang dilakukan dengan penuh kejujuran untuk menaikan nama industri animasi Kelantan ke peringkat tertinggi,” katanya.
Royhadlin memberitahu, isu itu sedikit sebanyak melemahkan semangatnya namun dia bertekad untuk tidak mudah mengalah, sebaliknya mahu terus berjuang mengangkat martabat animasi Kelantan.
Dia juga berterima kasih kepada peminat kerana tidak putus-putus memberi sokongan padu dengan cara mengikuti animasi Wokyoh, Samad dan Said menerusi plaftrom rasmi iaitu Artmedia Production (Youtube) dan laman sosial Facebook Wokyoh Samad Said Original.
“Sokongan ini menjadikan saya terus bermotivasi untuk menghasilkan animasi itu dengan lebih baik. Animasi Wokyoh, Samad dan Said ini boleh melangkah lebih jauh jika seluruh masyarakat memberikan sokongan padu.
“Ini animasi kita, wajah kita. Tanpa sokongan kita, siapa lagi yang akan memajukan dunia animasi negara,” katanya. – UTUSAN