Warden disyaki bunuh penghuni pusat pemulihan direman tujuh hari - Utusan Malaysia

Warden disyaki bunuh penghuni pusat pemulihan direman tujuh hari

SEORANG warden (tiga dari kiri) yang didakwa membunuh seorang pelatih di sebuah pusat pemulihan dibawa ke Mahkamah Alor Setar, Kedah, untuk mendapatkan perintah tahanan reman hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang warden di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta di Changlun, Kubang Pasu dekat sini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu kes bunuh seorang penghuni di pusat tersebut semalam.

Perintah tahanan reman itu sehingga 11 November ini dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Amin Rashidi Ramli.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, warden berusia 46 tahun itu ditahan di pusat pemulihan tersebut kira-kira pukul 8.30 malam semalam. 

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 31 tahun dan berasal dari Perlis dikatakan melarikan diri dari pusat pemulihan tersebut kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Namun tidak lama selepas itu, katanya, mangsa dikesan dan ditangkap semula kira-kira satu kilometer dari pusat pemulihan itu.

“Mangsa kemudian dibawa kembali ke pusat pemulihan tersebut dan pada pukul 11 pagi, seorang warden lelaki berusia 46 tahun dikatakan datang ke sel yang menempatkan mangsa lalu memukul dan menendangnya.

“Namun beberapa pelatih senior pada akhirnya dapat menenangkan warden tersebut daripada terus membelasah mangsa,” katanya.

Difahamkan, terdapat kecederaan lebam di leher, dada, bawah dagu dan kesan cakaran kuku pada mayat mangsa.

Malah terdapat dakwaan mengatakan mangsa juga dipijak di leher selain dipukul dan ditendang di dada.

Kamarul Zaman menambah, mangsa kemudiannya didapati pengsan ketika sedang mandi kira-kira pukul 6.15 petang semalam.

“Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Jitra oleh warden tersebut bersama beberapa individu lain namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN